Contact Us

For any inquiry please contact me at / Untuk sebarang pertanyaan sila hubungi saya di :

: 012 319 2087 ( Zue )

: 012 246 9704 ( Ihsan )

Or / Atau

Email : zueoutlet@yahoo.com


Showing posts with label My Harian. Show all posts
Showing posts with label My Harian. Show all posts

Monday, February 18, 2013

Pentingnya mengetahui keperluan nutrisi kanak-kanak




7 Disember 2012
KUALA LUMPUR - Kanak-kanak Malaysia berumur bawah 12 tahun boleh memiliki tubuh badan yang lebih sihat sekiranya ibu bapa dan penjaga prihatin dengan pengambilan makanan anak masing-masing.

Maklumat mengenai nutrisi optimum yang diperlukan oleh kanak-kanak boleh diperoleh daripada bahagian penjagaan kesihatan dan pendidikan di seluruh negara.

Menurut Kajian Nutrisi Asia Tenggara (Seanuts), kanak-kanak di Malaysia adalah lebih sihat jika dibandingkan dengan kanak-kanak di beberapa negara di rantau ini.

Bagaimanapun, jumlah kanak-kanak yang terlebih berat badan di Malaysia adalah tinggi.
 
 
NUTRISI DAN KESIHATAN
 
Satu kajian mengenai nutrisi dan kesihatan dijalankan di Asia Tenggara, dan hasilnya menunjukkan terdapat kekurangan nutrisi yang agak kritikal dalam kalangan kanak-kanak bawah umur 12 tahun.

Kajian itu membabitkan lebih 16,500 kanak-kanak berumur antara enam bulan dan 12 tahun dari Indonesia, Vietnam, Thailand dan Malaysia.

Kajian itu selama dua tahun itu baru sahaja tamat dan ia menumpukan perhatian terhadap isu-isu kesihatan yang penting di negara ini dikenali sebagai 'lapar tersembunyi' (hidden hunger).
 
     
LAPAR TERSEMBUNYI
 
Para penyelidik menggunakan istilah 'lapar tersembunyi’ bagi menterjemahkan kekurangan nutrisi yang tidak boleh dilihat dengan mudah.

Kanak-kanak mungkin nampak seperti sihat atau terlebih makan, tetapi mereka mungkin tidak mendapat nutrisi yang diperlukan oleh badan seperti vitamin D dan kalsium, yang penting untuk pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak.

"Adalah penting untuk melihat dengan lebih dekat lagi tentang apa yang benar-benar diperlukan oleh kanak-kanak dari segi nutrisi," jelas ketua Sains Nutrisi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Professor Poh Bee Koon.

Prof Poh ialah pengetua penyiasat di Seanuts bagi Malaysia.

Beliau berkata, berdasarkan kepada hasil kajian itu, usaha perlu diambil untuk mendidik orang ramai dan mewujudkan kesedaran mengenai standard nutrisi yang dicadangkan paling sesuai untuk kanak-kanak Malaysia.

Dr Tee E Siong, yang berkhidmat di Persatuan Nutrisi Malaysia (NSM), turut bersetuju dengan pandangan Prof Poh.

"Adalah penting sekiranya hasil kajian ini dikongsi dengan para profesional penjagaan kesihatan, pembuat dasar dan ibu bapa, untuk melakukan perubahan dalam kehidupan kanak-kanak di Malaysia," kata Dr Tee.

NSM dan UKM menjadi tuan rumah persidangan serantau Seanuts di Malaysia, baru-baru ini.


DATA
 
Kajian itu ditaja oleh Royal Friesland Campina N.V, bagi meningkatkan tahap kesihatan kanak-kanak di rantau ini.

Pengarah Urusan Dutch Lady Milk Industries Berhad (anak syarikat Royal Friesland Campina), Rahul Colaco, berkata hasil yang diperoleh daripada kajian itu akan digunakan untuk dimasukkan dalam keperluan nutrisi kanak-kanak bagi produk susu yang akan dihasilkan oleh syarikat.

Data dikutip dari empat negara adalah tertumpu kepada status nutrisi kanak-kanak, penokok dan tabiat diet, selain daripada aktiviti fizikal dan biokimia darah mereka.

Di Malaysia, Seanuts diadakan dengan kerjasama UKM; di Indonesia, ia diadakan dengan kerjasama Persatuan Ahli Gizi Indonesia (Persagi); di Thailand, dengan kerjasama Mahidol University; dan di Vietnam, dengan kerjasama Institut Nutrisi Kebangsaan (NIN) - Vien Dinh Duong.

 
IMPLIKASI
 
Di Malaysia, data dikutip antara Mei 2010 dan Oktober 2011 di enam kawasan iaitu bahagian utara, tengah, selatan dan pantai timur Semenanjung dan kawasan-kawasan di Sabah dan Sarawak.

Hasil data menunjukkan bahawa implikasi daripada 'lapar tersembunyi' dan kekurangan nutrisi yang berpanjangan adalah serius.

Di Malaysia, 50 peratus daripada kanak-kanak tidak mendapat jumlah vitamin D yang mencukupi untuk tubuh mereka, berdasarkan Pengambilan Nutrien Yang Dicadangkan (RNI) bagi negara ini, seperti yang disyorkan oleh pihak berkuasa kesihatan Malaysia.

Kanak-kanak juga mengalami kekurangan kalsium.

Sebanyak 50 peratus kanak-kanak tidak mengambil jumlah kalsium yang secukupnya.

Menurut hasil kajian itu juga, satu daripada setiap 10 kanak-kanak di kawasan bandar di Malaysia menunjukkan tanda-tanda kekurangan nutrisi berdasarkan nisbah berat badan dan umur.

Peratus kanak-kanak luar bandar yang mengalami kekurangan nutrisi adalah sedikit rendah daripada jumlah yang ditetapkan.

"Adalah tidak begitu mahal untuk makan makanan yang sihat. Malahan memakan pelbagai jenis makanan adalah penting dan ini termasuk ikan dan sayur. Susu juga amat penting," kata Dr Tee.


PENGAMBILAN KALSIUM
 
Kalsium dan vitamin D adalah perlu untuk perkembangan fizikal. Ia juga penting untuk tulang yang sihat.

Pengambilan nutrien yang tidak mencukupi akan menganggu perkembangan minda dan keupayaan intelektual kanak-kanak. Ini seterusnya akan menghalang kanak-kanak daripada melalui pertumbuhan fizikal yang sempurna.

Bagi setiap 10 kanak-kanak, seorang kanak-kanak di Malaysia tidak mempunyai pertumbuhan fizikal yang baik.

Manakala seorang daripada lima kanak-kanak menghadapi masalah terlebih nutrisi.

Prof Poh menasihati ibu bapa agar mengajar anak mereka untuk memakan makanan yang sihat, bagi memastikan pengambilan nutrisi yang mencukupi untuk badan mereka.

Secara ini, pertumbuhan fizikal mereka tidak akan terjejas, katanya.

     
PENGUKURAN PERTUMBUHAN
 
Sememangnya menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memastikan pengambilan nutrisi yang diperlukan oleh badan anak mereka adalah mencukupi.

Langkah mengambil dua gelas susu setiap hari sememangnya amat digalakkan bagi kanak-kanak yang masih bersekolah.

"Ibu bapa hendaklah memberi perhatian kepada keperluan nutrisi anak kerana ia amat penting. Susu juga adalah penting kerana ia pelengkap makanan.

"Susu penting untuk kanak-kanak dan orang dewasa. Pengambilan makanan mengikut diet seimbang adalah juga penting. Tabiat baik berhubung dengan pengambilan makanan hendaklah dididik kepada kanak-kanak sebelum mereka berumur 10 tahun," kata Dr Tee kepada Bernama.

Untuk mengelak daripada pertumbuhan dan kecerdasan yang terbantut, ibu bapa diingatkan agar melihat kepada keperluan nutrisi anak yang sedang membesar.

Ibu bapa tidak sepatutnya berkompromi berhubung dengan makanan, kata Dr Tee.

"Kanak-kanak memerlukan vitamin D, zat besi dan mineral yang lain untuk menjadikan mereka lebih kuat dan tidak mudah terkena penyakit seperti demam biasa.

"Kekurangan nutrisi boleh mendedahkan kepada satu masalah dan membantutkan perkembangan kanak-kanak, yang tidak dapat dikembalikan semula," katanya dan menambah bahawa nutrisi yang mencukupi dan sempurna diperlukan untuk kesejahteraan kanak-kanak.
- Bernama

Sengaja muntahkan makanan untuk kurus





MEMILIKI bentuk badan cantik dan langsing seperti Victoria Beckham, Jennifer Aniston, Kate Moss dan Paris Hilton sering menjadi idaman wanita di seluruh dunia. Tidak hairan kaum Hawa sanggup melakukan apa saja bagi memastikan impian mereka tercapai.

Ada yang sanggup membelanjakan banyak wang semata-mata mahu mendapat bentuk badan idaman, tidak kurang juga ada yang tidak kesah diri mereka ‘sakit’ asal cita-cita tercapai.

Tabiat pemakanan tidak sihat seperti makan terlalu banyak pada satu-satu waktu dan diikuti dengan usaha membuangkan apa dimakan, sama ada memuntahkan semula atau menggunakan ubat bagi membuang makanan dengan kadar cepat, sering dilakukan pesakit yang terlalu obses terhadap bentuk badan atau bulimia.

Bulimia adalah gangguan emosi makan dengan cara memuntahkan kembali makanan yang baru dimakan. Ia berasal daripada perkataan Latin (Bous Limos Nervosa) iaitu lapar dan juga gangguan emosi makan dengan cara memuntahkan kembali makanan.


Meskipun bulimia dialami lelaki dan wanita, ia lebih cenderung kepada kaum Hawa. Bulimia berlaku seawal usia 13 tahun, bahkan golongan ini dikenal pasti mempunyai kecenderungan tinggi mengambil dadah, alkohol dan merokok.

Perunding Psikologi Pusat Perubatan Hospital Pantai, Dr Khairi Rahman, berkata pesakit bulimia masih boleh diselamatkan berbanding pesakit aneroxia yang sememangnya membawa maut.

“Pesakit bulimia tidak mengehadkan jumlah makanan diambil, bahkan mereka makan tanpa berhenti tetapi memuntahkan semula selepas beberapa ketika, berbeza dengan aneroxia yang langsung tidak makan dan memudaratkan diri hingga membawa maut.

“Mereka juga sering menganggap diri gemuk dan mempunyai bentuk badan kurang menarik. Penghidap bulimia turut menghadapi masalah psikologi kerana fikiran mereka hanya tertumpu kepada persoalan mengenai penampilan kurus, berat badan dan makanan,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Menurutnya, penghidap bulimia biasanya makan dengan banyak tetapi akan cepat pula ‘memuntahkan’ kembali apa yang mereka makan dengan kaedah menjolok anak tekak.

Namun, ada juga yang sanggup menggunakan ubat laksatif atau diuretik supaya cepat membuang air besar, berpuasa panjang untuk mengurangkan berat badan dan senaman keterlaluan.

“Golongan ini juga sering dikaitkan dengan suka berbelanja (boros) dan paling mengejutkan, turut memiliki masalah seksual selain disebabkan faktor keturunan,” katanya.

Tambahnya, simptom yang biasa dilihat pada penghidap bulimia ialah kegagalan mengawal nafsu pemakanan, malah makan dalam kuantiti banyak sebelum berhenti apabila perut terasa tidak selesa.

Selain itu, pesakit bulimia kerap dilihat melakukan senaman dengan kadar berlebihan dalam tempoh singkat yang mampu menyebabkan degupan jantung tidak terkawal, malah ia juga dikesan penyebab penyakit gastrik refluks paling kronik.

“Ramai tidak tahu, bulimia boleh menyebabkan pelbagai komplikasi dan penyakit lain. Pesakit turut berisiko mendapat trauma mulut (oral trauma).

“Ia berlaku apabila pesakit menjolok makanan menggunakan jari berkuku panjang dan menyebabkan kecederaan dalam tekak,” katanya.

Gejala penyakit bulimia pula meliputi:

Makan terlampau mengikut nafsu dan tidak henti-henti.
Tabiat makan yang tidak dapat dikawal.
Usaha dilakukan bagi mengurangkan berat badan, sama ada secara memuntahkan apa yang dimakan, menggunakan ubat julap, berlapar, berpuasa atau bersenam secara keterlaluan selepas makan secara melampau.
Memberi tumpuan tidak sihat kepada isu berkaitan bentuk dan berat badan.
Kekeringan badan atau dehidrasi.
Letih, lesu dan tidak bermaya.
Sembelit.
Gigi dan gusi rosak disebabkan kesan asid perut yang keluar bersama bahan muntah.
Pipi bengkak akibat sering muntah.
Bulimia

Mengakibatkan kerosakan gigi dan gusi akibat kesan asid perut dalam bahan yang dimuntahkan. Dehidrasi badan dan penurunan paras kalium akibat kerap muntah boleh menyebabkan gangguan degupan jantung, selain badan menjadi tidak bermaya.
Pembuangan bahan daripada usus secara kerap menyebabkan keradangan pada dinding saluran pemakanan dan sembelit.

Pencegahan

Memaparkan bentuk dan susuk badan wanita secara realistik pada media massa sangat penting kerana ia mempunyai pengaruh kuat terhadap remaja dan dewasa muda. Memiliki susuk badan terlalu kurus tidak harus digalakkan untuk paparan di media. Keyakinan dan harga diri yang baik serta hubungan kekeluargaan yang positif dapat membendung masalah kecelaruan gaya pemakanan tidak sihat.

Ciri-ciri penghidap bulimia

Bermula dengan berdiet dan bersenam secara berlebihan.
Makan banyak tetapi memuntahkan semula semua makanan.
Mudah rasa bersalah selepas makan.
Mengambil ubat laksatif atau diuretic serta pil lain.
Pipi kembung akibat pembesaran kelenjar liur kerana selalu muntah dan kerosakan enamel gigi sebelah dalam.
Kesan buruk bulimia

Berat badan sentiasa turun naik atau lebih sedikit daripada berat normal.
Boleh menyebabkan kematian akibat penghasilan asid gastrik berlebihan.
Muntah berulang kali.
Ketidakseimbangan elektrolit dalam badan.
Kerosakan lapisan perut.
Degupan jantung tidak seragam.
Kerosakan buah pinggang.
Enamel gigi rosak kerana selalu muntah.
Kerongkong berdarah.
Kerap terbabit dengan penyalahgunaan dadah dan alkohol.
Gangguan fikiran, resah dan murung.

Rawatan bulimia

Menentukan jenis makanan yang ditakuti pesakit.
Pendedahan dan maklumat tabiat pemakanan dan makanan yang betul.
Pengambilan makanan 1,500 kalori sehari.
Pengambilan makanan berlemak dapat melambatkan penghasilan asid gastrik dan menimbulkan rasa lebih kenyang.
Credit – hmetro.com.my / HIDAYATUL AKMAL AHMAD

Kanak-kanak tubuh bulat "comel atau bahaya"


Masalah obesiti kian melanda kanak-kanak di negara Malaysia. Salah satu puncanya menurut Harian Metro, adalah iklan makanan segera.

TUBUH montok atau ‘bulat’ ketika kanak-kanak memang comel dipandang walaupun sebenarnya ia petanda kurang baik kepada bentuk fizikal yang kurang menarik apabila menjangkau dewasa.

Ada juga ibu bapa baru dikurniakan cahaya mata begitu mengimpikan agar mendapat anak montel kerana selain comel, ia juga dianggap anak mereka itu sihat. Sebaliknya, tanpa disedari ia boleh mengundang kepada pelbagai jenis penyakit atau masalah obesiti ke tahap kritikal.

Masalah obesiti terutama di kalangan kanak-kanak menjadi hangat baru-baru ini, hingga pada satu ketika ada cadangan larangan penjualan nasi lemak yang didakwa menjadi antara punca utama kepada masalah berat badan berlebihan.

Larangan itu menyebabkan banyak pihak tampil mempertikaikan cadangan itu kerana ada yang mendakwa penyumbang utama kepada menularnya gejala obesiti di kalangan murid sekolah adalah berkaitan dengan budaya pemakanan masyarakat Malaysia itu sendiri. Budaya makan malam seperti makan lewat malam di restoran 24 jam dan restoran makanan segera dikatakan paling ketara menjadi amalan.

Pakar Perunding Pediatrik, Datuk Dr Zulkifli Ismail, pernah mengakui masalah obesiti atau kegemukan di kalangan kanak-kanak semakin serius apabila dianggarkan 40 peratus berlaku berikutan gaya hidup ibu bapa yang gemar membawa keluarga makan di luar terutama pada waktu malam.

Menurutnya, masalah lebih ketara terutama di kawasan pantai barat seperti di Lembah Klang yang sudah menjadi kebiasaan dengan cara hidup sedemikian. Berdasarkan masalah berkaitan, dapat dilihat restoran makanan segera antara penyumbang kepada masalah obesiti.

Ada yang mendakwa siaran iklan makanan segera menerusi televisyen membawa kepada pengaruh besar terhadap budaya itu di negara ini, sekali gus ada pihak yang mahukan kerajaan mengawal siaran iklan berkenaan sebagai satu langkah untuk mengawal masalah obesiti yang melanda kanak-kanak ketika ini.

Kita wajar merenungi masalah berkaitan penyiaran iklan kerana penyelidik di Biro Penyelidik Ekonomi Nasional di Amerika Syarikat juga menyatakan larangan terhadap siaran promosi makanan segera boleh membantu mengurangkan jumlah kanak-kanak yang mempunyai masalah berat badan berlebihan.

Pakar Ekonomi Universiti Lehigh, Pennsylvania, Shin-Yi Chou berkata, berdasarkan penyelidikan yang dilakukan menyatakan adalah sesuatu yang praktikal untuk mengenakan peraturan larangan berkenaan yang kini hanya dilakukan di Sweden, Norway dan Finland.

“Kita ketahui kegemukan di kalangan kanak-kanak sudah meresapi budaya kita (AS), tetapi penyelidikan berasaskan pengalaman sebenar untuk mengenal pasti pengiklanan televisyen sebagai kemungkinan punca tidak banyak dilakukan,” katanya.

Dipetik penjelasannya, penyelidikannya tertumpu kepada bilangan jam yang menyampaikan mesej iklan restoran makanan segera di televisyen yang ditonton setiap minggu oleh kanak-kanak.

“Hasilnya, kami mendapati larangan terhadap pengiklanan itu akan mengurangkan bilangan kanak-kanak yang mempunyai lebihan berat badan berusia antara tiga hingga 11 tahun dalam jumlah penduduk tetap sebanyak 18 peratus dan boleh mengurangkan bilangan remaja yang mempunyai lebihan berat badan berusia antara 12 hingga 18 tahun sebanyak 14 peratus,” katanya.

Kajiannya turut mendapati, kanak-kanak menonton purata kira-kira 20,000 iklan yang disiarkan di televisyen di negara itu setiap tahun pada lewat 1970-an, ia kemudiannya meningkat sehingga 30,000 iklan setiap tahun pada akhir 1980-an dan lebih daripada 40,000 iklan setiap tahun pada akhir 1990-an.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan iklan menjadi satu pengaruh besar kepada minda kanak-kanak dan iklan makanan segera juga didapati menjadi daya penarik utama kepada golongan itu.

Kementerian Kesihatan pada 2009 menerusi Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai juga dipetik sebagai berkata bahawa kerajaan akan melaksanakan pelbagai usaha untuk mengawal aktiviti pemasaran dan promosi makanan segera bagi mendidik masyarakat mengamalkan pemakanan sihat.

Beliau berkata, antara langkah yang akan diambil ialah memperkukuhkan pengawalan iklan makanan segera menerusi televisyen selain menambah slot dan kekerapan penyebaran mesej pemakanan sihat menerusi radio, televisyen, surat khabar serta majalah tempatan.

“Kecenderungan mengambil makanan segera dengan kerap memang membahayakan kesihatan kerana makanan yang dihidangkan di restoran makanan segera tinggi kalori, lemak, garam dan gula,” katanya.

Liow berkata, kementerian juga akan menggubal dasar dan peraturan yang membantu mengawal pemasaran, promosi dan penjualan makanan segera di negara ini.

“Antara usaha lain diambil adalah mengawal pengiklanan makanan segera ketika rancangan kanak-kanak di televisyen dan mewajibkan pelabelan kandungan zat pada makanan segera,” katanya.

Sesuatu perlu dilakukan kerana masalah obesiti di kalangan kanak-kanak menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) adalah kian meningkat dan sangat membimbangkan. Berdasarkan perangkaan WHO didapati kanak-kanak prasekolah yang mengalami lebihan berat badan di Asia dijangka meningkat 4.9 peratus menjelang 2020 nanti berbanding hanya 3.2 peratus pada 1990.

Peningkatan ketara dalam masalah berat badan berlebihan kanak-kanak disebabkan banyak faktor. Satu sebab utama adalah perubahan diet ke arah makanan yang tinggi lemak dan gula serta kurang nutrien penting. Makanan ini mengakibatkan kanak-kanak mengambil tenaga yang lebih daripada apa yang mereka perlukan dan tenaga berlebihan ini akan ditukar dan disimpan sebagai lemak.

Contoh makanan penuh tenaga yang disukai kebanyakan kanak-kanak ialah naget goreng, kentang goreng, bebola ayam goreng, minuman berkarbonat dan kordial.

Berdasarkan saranan WHO, pengambilan gula tidak boleh melebihi 10 peratus daripada tenaga harian maka kanak-kanak berusia satu hingga tiga tahun tidak boleh mengambil lebih daripada lima sudu teh atau 25 gram gula sehari dan kanak-kanak empat hingga enam tahun tidak boleh mengambil gula tambahan lebih daripada tujuh sudu teh atau 35 gram sehari.

Antara kemungkinan sebab lain adalah kewujudan makanan segera. Biasanya, makanan ini mengandungi daging yang tinggi lemak dan bijirin kisar. Makanan terbabit juga dihidang bersama air berkarbonat manis yang mengandungi sehingga lapan sudu teh gula tambahan.

Kanak-kanak yang mengalami obesiti ini berisiko menghadapi pelbagai masalah kesihatan termasuk tekanan darah tinggi, tahap kolesterol tinggi serta kurang keberkesanan insulin.

Semua masalah itu meningkatkan lagi risiko kencing manis, penyakit jantung, strok serta sesetengah jenis kanser apabila mereka meningkat dewasa.

Apa pun juga penyebab berlakunya masalah obesiti di kalangan kanak-kanak negara ini, peranan utama dalam membentuk mereka ke arah kehidupan yang sihat adalah bermula daripada amalan pemakanan keluarga dan pemakanan harian mereka di rumah.

Antara langkah yang perlu dititikberatkan oleh ibu bapa menurut pakar pemakanan adalah dengan memastikan seluruh ahli keluarga terbabit dalam proses pemakanan yang lebih sihat, kerana ia akan mengurangkan perasaan terpencil dalam proses itu. Pastikan bila memilih makanan, makanan itu seharusnya mempunyai kandungan tinggi dalam serat dan lemak yang rendah.

Jika ada anak berusia lebih dua tahun, menggunakan susu yang rendah lemak boleh membantu mengurangkan berat badan. Paling penting sekiranya ibu bapa dapat membantu kanak-kanak mengamalkan senaman termasuk pastikan anak bermain dengan kanak-kanak lain, seluruh keluarga menjalankan senaman seperti berbasikal atau berlari dan pastikan juga anak aktif dalam aktiviti kokurikulum.

Pakar juga menyarankan agar kanak-kanak dikawal dan dikurangkan menonton televisyen.

BHO Blog : Jagalah pemakanan anak anda dari sejak dia kecil lagi kerana jika sudah besar susah untuk mengubah tabiat pemakanannya

- Berita Harian Online -

Cegah kanak-kanak dari Obesiti


APABILA ke pusat beli-belah dan kedai-kedai makan di serata tempat di negara ini, biasa anda saksikan ramai kanak-kanak dan anak muda yang berlebihan berat badan.

Jika tidak menjaga diet, jumlah mereka yang berlebihan berat badan dan obes akan terus meningkat bahkan menjadi epidemik.

Jadi, para ibu bapa dan penjaga, adakah anak-anak anda menghampiri tahap ini atau mereka sudahpun mencapai tahap tersebut?

Pastikan mereka sihatAmalan gaya hidup sihat haruslah bermula daripada kecil.

Ahli Majlis Persatuan Kajian Obesiti Malaysia (MASO), Dr. Zawiah Hashim menegaskan penting bagi kanak-kanak mengambil kalori dan nutrien yang mencukupi untuk pertumbuhan dan perkembangan yang normal.

Namun, ini mesti diawasi dengan berhati-hati supaya kanak-kanak tidak mengambil terlalu banyak kalori.

Rumah adalah tempat terbaik untuk mencipta persekitaran yang lebih sihat untuk kanak-kanak.

“Ibu bapa tidak harus memandang rendah risiko kesihatan yang berkaitan dengan berlebihan berat badan. Kunci untuk anak-anak kekal pada berat badan yang sihat adalah dengan mengambil pendekatan “seluruh keluarga”. Ahli keluarga biasanya mengamalkan cara makan yang sama, mengekalkan tahap aktiviti fizikal yang sama dan mempunyai sikap yang sama terhadap berlebihan berat badan. Oleh itu, ibu bapa mesti mengamalkan apa yang mereka ajar dan menjadikan tabiat makan secara sihat serta aktiviti fizikal sebagai satu urusan keluarga,” jelas beliau.

Dr. Zawiah menyarankan supaya anak-anak dilibatkan dalam perancangan dan penyediaan hidangan sihat dengan membawa mereka membeli barangan runcit agar dapat belajar cara untuk membuat pilihan makanan yang sihat.

Ini juga memberi peluang kepada kanak-kanak mengenal pasti dan memilih makanan yang lebih berkhasiat di kantin sekolah.

“Apabila anda makan di luar bersama anak-anak, kerap kali mereka mahu memilih makanan yang mereka inginkan dan selalunya lebih menggemari makanan segera. Apa yang anda perlu lakukan sebagai ibu bapa adalah bertegas dan tidak tunduk dengan keinginan mereka. Ini untuk memastikan mereka mengamalkan tabiat makan secara sihat,” tambah Dr. Zawiah.

Di samping itu, ibu bapa harus menetapkan garis panduan mengenai jumlah masa yang dihabiskan oleh anak anda dengan aktiviti sedentari seperti menonton televisyen atau menghadap komputer. Had masa anak anda di depan skrin tidak boleh melebihi dua jam sehari kerana kanak-kanak yang menghabiskan masa berjam-jam menonton televisyen lebih cenderung menjadi gemuk.

Anda juga disaran melakukan aktiviti bersama keluarga termasuk bersenam, berbasikal, berjalan kaki atau setidak-tidaknya membersihkan halaman rumah atau mencuci kereta agar anak anda kekal aktif selalu.

“Jadilah teladan yang terbaik untuk anak-anak anda dan bantulah mereka memupuk tabiat makan secara sihat di samping mengamalkan gaya hidup yang aktif,” nasihat Dr. Zawiah.

Credit – Utusan Malaysia Online

Services

Kami menyediakan perkhidmatan di seluruh Malaysia.

Kuala Lumpur, Putrajaya, Sabah, Sarawak, Selangor, Perlis, Kedah, Perak, Pulau Pinang, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu, Kelantan, Johor

Kami juga mencari mereka yang berminat untuk menjadi Pengedar bebas di seluruh Malaysia. Bermula hari ini dan hubungi kami dengan segera untuk mendaftar.