بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
Assalammualaikum wbt dan Salam Sejahtera, hari ini saya ingin berkongsikan 4 perkara iaitu jiwa, nikmat, syukur dan kesihatan yang sering kali berlaku didalam kehidupan kita dan ianya berkait rapat diantara satu sama lain.
Jiwa yang memiliki nikmat kehidupan tetapi tidak mensyukurinya maka ia hanya akan memberi kemudaratan pada kesihatan jasmani dan rohani. Dah macam seminar ESQ bunyinya tetapi ini bukan dipetik dari program ESQ atau mana-mana program yang lain kerana ini adalah cetusan dari saya sendir, hasil dari perjalanan dan ilmu yang Allah S.W.T pinjamkan kepada saya.
Apa itu jiwa, definisi jiwa mengikut pemahaman saya adalah sesuatu yang tidak dapat dilihat dan disentuh dengan secara fizikal. Tetapi ia sesuatu yang hidup dan ianya wujud, atau mungkin oleh dikenali sebagai roh. Umat Islam percaya kewujudan alam-alam ghaib yang telah diceritakan didalam Al-Quran. Pasti ada yang mempersoalkan dimana kah letaknya jiwa atau roh itu. Mengikut para ulama, itu adalah sesuatu perkara yang tidak boleh kita pertikaikan kerana ia adalah rahsia-rahsia Allah S.W.T. Seperti mana udara yang tidak mempunyai fizikal, tidak mempunyai bau, tidak mempunyai rasa dan tidak bewarna. Tetapi kita yakin akan kewujudan udara kerana jika tiada udara jantung kita pasti akan berhenti, perkara yang sama berlaku pada jiwa kita. Jika manusia itu hidup tetapi jiwanya sakit kehidupanya tidak ubah seperti bangkai bernyawa. Atau jika terpisah jiwa atau roh dari badan manusia maka manusia itu telah melalui kiamat kecil buat dirinya (kematian).
Apa pula yang dinamakan dengan nikmat? Bagi saya nikmat yang sebenar adalah suatu benda atau perlakuan yang dimiliki oleh seorang manusia yang mana benda atau perlakuan itu mendekatkan diri mereka kepada Allah S.W.T. Seorang manusia boleh memiliki segala nikmat dunia tetapi tiada gunanya jika jiwa mereka sakit (rasa tidak tenang, resah gelisah, atau merasa sentiasa tidak cukup). Ada juga manusia yang tidak memiliki nikmat dunia dan hidup sentiasa dalam kekurangan tetapi jiwa mereka sihat. Mereka sentiasa merasa tenang, dada sentiasa merasa lapang dan merasa bahagia dan Allah S.W.T menjadikan jiwanya sentiasa merasa cukup.
Memiliki suatu nikmat itu tidak salah, kerana ada sahabat Nabi yang termasuk dalam 10 orang sahabat yang telah Allah S.W.T janjikan syurga seperti Abdul Rahman Auf. Tetapi bagaimana kita menggunakan nikmat yang diberi dan adakah cinta kita pada nikmat itu melebihi cinta kita kepada Allah S.W.T dan Rasul-Nya? Cari la dunia seperti mana anda akan hidup 1000 tahun lamanya dan beribadah lah seperti anda akan mati pada kesokan harinya. Fardhu Ain wajib bagi semua umat Islam tetapi fardhu kifayah juga sangat penting.
Untuk menjaga perhubungan kita dengan Allah S.W.T agar kita tidak pergi jauh dari-Nya adalah dengam mensyukuri segala nikmat yang diberi. Apabila manusia itu sentiasa bersyukur dengan apa yang dimiliki jiwa manusia itu akan merasa lebih tenang. Bagaimana untuk mensyukuri nikmat Allah S.W.T? Bagi umat Islam cara kita menunjukan rasa syukur kepada Allah S.W.T adalah dengan mengucapkan Alhamdulillah jika memperoleh suatu nikmat dan mengucapkan Innalillah jika kita menghadapi musibah, mengamalkan doa-doa harian seperti doa masuk bilik air, keluar bilik air, doa sebelum makan, doa selepas makan, doa naik kenderaan dan banyak lagi doa² yang boleh dipelajari juga adalah cara kita mensyukuri nikmat Allah S.W.T.
Izinkan saya berkongsi kepada anda contoh manusia yang tidak mensyukuri nikmat Allah S.W.T dan kesanya kepada jiwa dan kehidupan mereka.
Kisah 1
Isteri : Abang cuba abang tengok jiran kita, dah tukar langsir baru, perabot baru, permaidani baru, tiap-tiap tahun bertukar. Tapi kita ni dah tiga tahun tak pernah pernah nak tukar, saya nak juga merasa barang-barang baru dah bosan mata saya tengok semua barang-barang lama.
Suami : Pakailah dulu barang-barang yang ada ni, bukanya rosak. Semua masih elok lagi, boleh guna pun.
Isteri : Malasla saya nak cakap dengan abang ni! Bila mintak semua tak dapat! Macam ni saya nak kerja la! Bila dah ada duit sendiri tak payah mintak-mintak dekat abang, saya boleh beli sendiri! Malulah saya nak ajak keluarga datang rumah macam ni, semua benda tak ada! Yang ada pun barang-barang buruk! Menyesal saya kahwin dengan abang, mintak semua tak dapat! Tengok kawan-kawan saya semua, senang jer nak mintak apa semua suami dia bagi!
Kisah 2
Mat : Aku geram betul la dengan si Ahmad tu. Baru kerja setahun dah naik pangkat, aku yang dah kerja 5 tahun ni pun tak naik-naik pangkat lagi.
Johan : Betul tu Mat, aku dengar si Ahmad ni kaki bodek bos! Sebab tu la dia cepat naik pangkat. Pandai kipas bos!
Mat : Johan aku dengar hari tu ada orang yang Nampak Bos keluar dengan si Ahmad tu, tak tahulah aku pergi mana! Sebab ada yang nampak mereka berdua keluar bersama. Silap-silap pergi ke hotel.
Johan : Alah Mat, mesti ada apa-apa la tu! Kalau tak takkan la si Ahmad tu boleh naik pangkat sedangkan kita yang dah kerja lama.
Mat : Ooo... Patutla aku tengok si Ahmad tu dah pakai kereta baru! (Sudahnya dari jam 9am-6pm kerjanya mengumpat sahaja, kerja ofis satu pun tak buat.)
*Contoh-contoh diatas tidak ada kaitan dengan yang hidup atau yang mati. Sekadar contoh yang ingin saya kongsikan pada anda.
Cuba kita tanamkan rasa syukur kepada si Isteri, Mat dan Johan. Dan anda mungkin dapat menduga perubahan keatas sikap-sikap mereka.
Jiwa yang sihat adalah jiwa-jiwa yang sentiasa bersyukur kepada Allah S.W.T.
“Katakanlah: Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku untuk Allah, Tuhan semesta alam. Tidak ada sekutu bagiNya. Demikian itulah yang diperintahkan kepadaku dan aku adalah orang yang pertama-tama menyerahkan diri (kepada Allah)“. (QS Al An’aam : 162-163)
Memang sangat menyedihkan apabila kita dilahirkan dalam kesihatan yang baik tetapi kembalinya kita kepada Allah S.W.T kerana sakit yang berpunca daripada sikap kita sendiri. Sebagai contoh kencing manis, darah tinggi, serangan jantung dan lain². Penyakit-penyakit seperti ini boleh katakan 90% berpunca daripada pemakanan manusia yang tidak sihat. Kesihatan sebenarnya adalah satu anugerah yang sangat besar yang telah Allah berikan kepada kita. Menajaga kesihatan dengan niat untuk melaksanakan dan mentaati perintah Allah S.W.T juga boleh dikira sebagai satu ibadah. Tetapi rata-rata masyarakat masa kini semakin melupakan kesihatan mereka. Mereka hanya akan tersedar betapa pentingnya kesihatan hanya ketika mereka terlantar dihospital dalam keadaan sakit.
Allah S.W.T telah berfirman :
Maka makanlah yang halal lagi baik dari rezeki yang telah diberikan Allah kepadamu; dan syukurilah nikmat Allah jika kamu hanya kepada-Nya saja menyembah.
An-Nahl: 114
Manusia akhir zaman ini sibuk mencari rezeki didunia sehingga terlupa amanah yang telah Allah S.W.T berikan kepada mereka. Amanah yang amat besar itu adalah diri dan kesihatan mereka. Bukankah jasad ini suatu amanah buat manusia. Apabila seseorang itu meninggal dunia mana akan tinggallah jasad untuk dimakan ulat dan cacing. Tetapi selagi mana ada jiwa didalam jasad, maka wajiblah manusia menjaga amanah yang diberikan dengan sebaik-baiknya. Jika seirang pekerja diberikan amanah oleh pemilik syarikat untuk menjaga akaun atau sesuatu amanah dari syarikat, pasti mereka akan cuba melaksanakan amanah itu dengan sebaik-baiknya. Tetapi mengapa pula kesihatan yang Allah S.W.T amanahkan kepada manusia, begitu mudah manusia melupakanya? Ramai manusia yang makan secara berlebih-lebihan sehingga obesiti, ramai juga manusia yang merosakan kesihatan dengan mengambil benda-benda yang tidak bermanafaat, begitu ramai juga yang tidak menjaga kesihatan mereka dengan baik seperti tidak tidur dengan cukup, belebihan pengambilan garam dan gula, pengambilan kalori yang tidak terkawal dan bermacam-macam lagi perkara yang di lakukan sehingga membahayakan kesihatan diri sendiri.
Saya seorang jurulatih kesihatan Herbalife dan pengedar bebas produk Herbalife Malaysia. Saya berjumpa dengan semua lapisan masyarakat dari semua golongan. Kesimpulan yang dapat saya simpulkan rakyat Malaysia lebih gemar mengumpulkan harta, wang ringgit, rumah besar, kereta besar, emas tetapi tidak suka mengumpul dan menjaga kesihatan diri sendiri. Rakyat Malaysia sanggup bekerja dan berniaga selama berpuluh-puluh tahun, akhirnya terlantar dihospital dan ada juga yang meninggal dunia. Rakyat Malaysia lebih bangga memiliki rumah dan kereta besar, tetapi yang tinggal dirumah itu hanyalah tukang kebun dan pembantu rumah. Anak-anak dibiarkan bersama pembantu rumah atau pengasuh dan kesanya apabila anak-anak meningkat dewasa, mereka akan membawa haluan mereka sendiri, si ibu dan si bapa pula terlantar dikatil hospital. Jadi untuk apakah dan untuk siapakah kekayaan yang di kejar-kejarkan selama ini? Jika memiliki wang berjuta-juta yang diusahakan selama berpuluh tahun pun, akhirnya menjadi punca pergaduhan anak-anak. Nauzibillah minta kita dijauhkan dari keburukan harta kekayaan. Tidak salah jika mengeluarkan sebahagian dari harta kita untuk kesihatan diri sendiri berlandaskan hukum dan syarak dan niatlah dengan kesihatan yang baik ini akan memudahkan kita mentaati segala perintah Allah S.W.T. Bersenamlah bersama keluarga sekuran-kurangnya sekali seminggu kerana ia bukan sahaja baik untuk kesihatan tetapi juga baik didalam menjaga perhubungan kekeluargaan. Makan bersama-sama keluarga setidak-tidaknya sarapan pagi dan makan malam bersama, dari makan bersama ketua keluarga dapat mengetahui perihal dan masalah yang berlaku pada anak-anak, isteri dan suami. Membina kesihatan sebenarnya secara tidak langsung membentuk keharmonian institusi kekeluargaan. Keluarga yang harmoni dan sentiasa berkasih sayang adalah suatu nikmat yang sangat berharga.
Dalam Hadith Nabi S.A.W, sabda Baginda : “Aku tinggalkan kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selama mana kamu berpegang dengan kedua-duanya, iaitu kitab Allah (Al-Qur’an) dan sunnahku.” (HR Malik bin Anas dalam al-Muwattha' - no: 1619)






No comments:
Post a Comment
Thank you for your comment, will approve once we check. Have a good day :)